Global Rampasan Kuasa Turki

November 3, 2016

 

Rakyat Turki sangat memahami apa erti berada di bawah pemerintah tentera. Terlalu banyak pengelaman pahit yang dilalui dalam era ketenteraan Turki sehingga percubaan rampasan kuasa kali ini telah ditolak secara tegas dan pantas oleh rakyat Turki.

 

Konsekuansi dari rampasan kuasa oleh tentera pada 1960, 1971-1973, 1980 dan 1997 mengajar mereka supaya tidak berkompromi dengan percubaan kudeta itu dan memikirkan jika mereka  membiarkan negara terjun semula kepada kerajaan yang diterajui tentera, penderitaan akan berulang.

 

Bagi sekumpulan kecil pemberontak (putchists) dan kolaborator, mungkin hanya mereka merasa mencapai sesuatu dari rampasan kuasa secara militari selama ini. Begitu juga ada sebilangan kecil rakyat yang menyokong rampasan kuasa,  merasa menang dalam rampasan kuasa terdahulu.

 

Namun semua tahu kelompok pemberontak inilah yang telah melukakan hati rakyat, merampas,  meruntuh kehidupan dan menghitamkan masa depan rakyat sendiri.

 

Yang mengkagumkan ialah ketika jalanraya Istanbul dibasahi darah, ribuan orang awam berarak dan berdepan dengan tentera yang pro-kudeta yang dilengkapi dengan kereta kebal dan senjata berat.

 

Ketika pertempuran berlaku di Pusat Utama Tentera di Ankara - dikatakan kebu kuat penggerak kudeta itu - jambatan Istanbul dimana kudeta bermula dibuka semula kepada awam.

 

Tentera yang dihantar oleh ketua-ketua kudeta itu sama ada melarikan diri atau dipindahkan ke tempat yang lebih genting. Pokoknya pada keesokan harinya, semua pengangkutan awam termasuk sistem Metro kembali beroperasi seperti biasa.

 

Penduduk Istanbul nampaknya memiliki reputasi bertindak pantas untuk mengembalikan keadaan normal walaupun sentiasa perlu bersedia berdepan insiden yang lebih berat.

 

Ramai penganalisa Timur Tengah percaya keadaan kembali tenang hanya untuk sementara sebelum berlaku serangan gelombang ke dua. Walaupun 161 terbunuh, rakyat tetap siap untuk tidak membenarkan insiden Mesir berlaku di Turki.

 

Sebab itu bila satu faksi tentera, yang dipercayai terkait dengan gerakan Gulen, yang dipimpin oleh seorang ilmuan bernama  Fethullah Gulen, merancang kudeta ke atas kerajaan Turki yang dipilih secara demokratik oleh rakyat, rakyat tidak berlengah. Mereka bangkit sepantas kilat. Hanya dalam beberapa jam, dari Parlimen sehingga rakyat dari pelbagai golongan, yang berhaluan kiri, yang Islamik, yang berkerudung, yang memakai skirt, yang berjubah, yang memakai jean, yang muda, mahasiswa dan yang tua, semuanya, tampil untuk menolak percubaaan rampasan kuasa itu, dan kudeta itu tumpas ditangan rakyat.

 

Ketika percubaan rampasan itu berlaku, seluruh potensi alat komunikasi moden digembleng. Dalam dunia yang telus dan terbuka kini, tidak memungkinkan maklumat terselindung dari diketahui pihak awam. Golongan pemberontak yang didorong oleh agenda dangkal telah mencuba suatu operasi rampasan yang nekad. Mereka meledakkan bom di parlimen, mengambil alih saluran TV dan agensi berita negara. Malangnya peristiwa ini sempat berlanjutan sehingga  meragut nyawa hampir 200 orang, termasuk orang awam dan beberapa orang pegawai tinggi tentera.

 

Meledakkan bom di parlimen dan istana presiden tidak pernah berlaku dalam sejarah Turki. Dari segi pengalaman rampasan kuasa dalam sejarah Turki pun,  insiden seperti ini tidak pernah terjadi. Bermakna ini adalah suatu insiden yang lebih besar dari hanya sebuah kudeta. Ia merupakan suatu kempen keganasan oleh sekelompok kecil yang bertujuan memaksimakan rasa takut dikalangan rakyat.

 

Namun rakyat Turki terbukti sangat berani. Mereka langsung ke jalanraya dan menuntut pertelingkahan politik dirundingi melalui saluran politik dan prosedur demokrasi, bukan melalui rampasan kuasa oleh tentera. Majoriti besar rakyat dari pelbagai pegangan politik menolak tindakan ganas ini. Begitu juga semua ahli Parlimen dari pelbagai parti menyanggah percubaan rampasan kuasa ini.

 

President Recep Tayyip Erdogan mengesa rakyat bangkit dan tegas mempertahankan kerajaan dari "penceroboh". Rakyat menyambut seruan ini. Hasilnya, kudeta itu gagal bertahan walaupun untuk satu hari.

 

Menolak kudeta kini menjadi slogan di Turki. Sebelum ini polarisasi antara partai sangat tajam, namun akibat dari percubaan rampasan kuasa ini, kesatuan rakyat Turki tiba-tiba menyerlah.

 

Tambahan lagi, kudeta yang gagal itu mendedahkan bahaya gerakan Gulen (Gulenists). Sekarang dunia tahu kenapa kerajaan Erdogan menyifatkan kumpulan ini sebagai "negeri dalam negeri" yang membahayakan demokrasi Turki, politik dan rakyat Turki. Bagaikan ada kesamaan dengan pengelaman di Mesir dimana wujud "deep state" apabila Morsi tidak dapat menguruskan kerajaan akibat tentera dan judisiari berpakat untuk menggulingkan beliau.

 

Mereka yang terlibat dalam kumpulan ini bukan sahaja bersifat anti rakyat dan aspirasi rakyat, malah juga tidak mahu patuh kepada arahan kepimpinan atasan. Akan tetapi ternyata sebilangan besar anggota tentera tidak menyokong mereka.

 

Salah satu dari sebab kenapa kumpulan ini bergopoh mencuba rampasan kuasa ini ialah mesyuarat Majlis Tertinggi Tentera yang telah berlaku pada 1 hb Ogos 2016. Majlis ini dijangka akan merombak besar-besaran pegawai-pegawai tinggi tentera. Ini merupakan antisipasi yang demikian lama yang diharapkan untuk membersih tentera dari penyokong Gulen.

 

Dalam masa yang sama, terdapat laporan pihak judisiari akan melancarkan siasatan ke atas sayap tentera yang bersama Gulen. Dengan sebab itu kelompok ini merasa resah dan bertindak segera untuk melancarkan rampasan kuasa secara tergopoh-gopoh dan tidak cukup persiapan.

 

Sekarang berkemungkinan besar kerajaan akan mengeluarkan dan menamatkan jaringan Gulen dalam institusi kerajaan. Sebahagian besar masyarakat dan kelompok politik menuntut hal ini dilakukan segera.

 

Kini peluang untuk menggerakkan rekonsilisasi nasional sepatutnya bermula. Sudah ada kesepakatan massa dan politik untuk menolak kudeta dan kerajaan Turki akan menggunakan kesempatan ini semaksima mungkin.

 

Sementara usaha untuk meleraikan jaringan Gulen dalam kerajaan menjadi agenda besar kerajaan, inisiatif untuk rekonsilisasi seluruh negara akan dimulakan. Dari sebuah ancaman kini menjadi suatu peluang.

 

Sekaligus ia memberi peluang untuk menggerakkan rekonsilidasi seluruh peringkat Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) kerana kepimpinan dan anggota parti telah mengenepikan perbezaan dan bersepakat untuk mengukuhkan kesatuan. AKP bakal menjadi lebih kukuh dan lebih kuat.

 

Kini setelah rakyat menolak percubaan kudeta itu, ahli politik semestinya lebih berwaspada dan memastikan perancang dan jaringan yang mengancam kestabilan negara dipertanggungjawabkan. Sesiapa yang mendukung demokrasi di Turki sewajarnya memastikan rampasan tentera tidak boleh dibenarkan sama sekali.

 

Presiden MAPIM

Tags:

Please reload

Kami Bantu Anda Salur Sumbangan Secara Online!

DANA MAPIM

5622 6354 0066

Featured Posts

Massacre in Myanmar - Send Peace Troops Now

August 26, 2017

1/10
Please reload

Recent Posts
Please reload

Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

© 2016 by MAPIM. Proudly created for WWW.MAPIM.ORG

Klik Untuk Dengar Radio Tajaan MAPIM:

Apa yang kami nyatakan di web ini adalah benar dan tepat mengikut fakta semasa dan dari ulasan pengalaman sebenar. Pengunjung dinasihatkan menyumbang dengan mengikuti arahan yang disediakan. Namun kami tidak bertanggungjawab jika sebarang masalah/komplikasi berlaku kepada penyumbang di atas projek, program dan bantuan berdasarkan faktor keselamatan, cuaca dan suasana situasi sebenar.