Myanmar Mula Buka Pintu, Isu Rohingya Di Bincang Serius oleh ASEAN.

December 20, 2016

 

 

KENYATAAN MEDIA: INTERVENSI YB MENTERI LUAR NEGERI DI PERSIDANGAN MENTERI-MENTERI LUAR ASEAN DI YANGON, MYANMAR PADA 19 DISEMBER 2016

 

Terima kasih Tuan Pengerusi

 

Saya mengambil maklum dengan taklimat yang disampaikan oleh Aung San Suu Kyi berkenaan maklumat terbaru mengenai situasi di utara negeri Rakhine.

 

Sebagai jiran dan rakan kongsi kepada Myanmar, kami mengikuti perkembangan di kawasan tersebut dengan rapat, terutamanya berkenaan dengan nasib yang menimpa etnik Rohingya.

 

Amat tepat untuk kita diberi peluang untuk bertemu dan berbincang mengenai isu yang penting ini.

 

Apabila saya mencadangkan untuk kita mengadakan pertemuan ini melalui Tuan Pengerusi, ia merupakan niat ikhlas untuk kita bersama-sama membantu Myanmar dalam menangani cabaran yang mereka sedang hadapi dalam menyelesaikan isu ini.

 

Harapan kami adalah semoga perbincangan yang terbuka dan berterus terang sesama kita ini dapat membantu kita untuk memahami dengan lebih jelas tentang isu yang dihadapi oleh sahabat kita, Myanmar, dan daripada itu, dapat kita cari jalan penyelesaian jangka panjang yang berkekalan kepada isu ini.

 

Tuan-tuan yang dihormati sekalian,

 

Kita sedia maklum tentang langkah-langkah yang diambil oleh Myanmar dalam siasatannya terhadap insiden yang berlaku di Bandar Maungdaw awal Oktober tahun ini.

 

Kita juga sedia maklum dengan langkah-langkah yang diambil oleh Myanmar dalam menyiasat punca berlakunya keganasan di kawasan yang terjejas berikut.

 

Ini termasuk penubuhan Jawatankuasa Pusat bagi Pelaksanaan Keamanan, Kestabilan dan Pembangunan (PSCD) di negeri Rakhine; Suruhanjaya Penasihat negeri Rakhine, iaitu satu usaha kerjasama antara Kerajaan dan Yayasan Kofi Annan; dan seterusnya penubuhan Suruhanjaya Penyiasatan.

 

Kita mengakui dan mengiktiraf inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Myanmar dalam usaha untuk memperbaiki keadaan, namun perkembangannya amat perlahan, terutamanya dalam memperbaiki hak-hak asasi manusia etnik minoriti Rohingya di negeri Rakhine.

 

Kita mendapat laporan daripada pelbagai sumber yang mendakwa bahawa berlakunya tangkapan sewenang-wenangnya, pembunuhan di luar undang-undang termasuk kanak-kanak, kes rogol yang dilakukan oleh tentera, pembakaran perkampungan Rohingya, serta pemusnahan rumah-rumah dan tempat ibadat.

 

Amat merisaukan apabila pencabulan-pencabulan ini didakwa dilakukan dalam konteks operasi keselamatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Kerajaan.

 

Berkali-kali Kerajaan Malaysia melahirkan kebimbangan terhadap keganasan yang berterusan di utara negeri Rakhine yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa serta pemindahan orang ramai. Ini mengakibatkan etnik Rohingya berasa tidak selamat, ketakutan dan panik, lalu melarikan diri ke negara-negara jiran, termasuk Malaysia.

 

Kami percaya bahawa untuk melenyapkan dakwaan ‘pembersihan etnik’ atau ‘pembunuhan beramai-ramai’, ia menjadi tanggungjawab Kerajaan Myanmar untuk lebih telus dan memberikan maklumat yang tepat serta membuka akses ke kawasan-kawasan yang terjejas.

 

Seperti mana yang kita ketahui, Malaysia dan beberapa negara jiran yang lain terpaksa berdepan dengan kebanjiran pelarian, terutamanya etnik Rohingya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Malaysia kini sedang menampung lebih kurang 56,000 pelarian etnik Rohingya yang terdiri daripada kalangan lelaki, perempuan dan kanak-kanak, yang melarikan diri daripada kawasan yang terjejas di negeri Rakhine.

 

Kerajaan Malaysia mengalami tekanan yang berterusan daripada rakyat Malaysia yang amat bersimpati dengan nasib dan penderitaan yang dialami oleh etnik Rohingya.

 

Kerajaan Malaysia juga terpaksa menanggung beban kewangan yang besar dalam menyediakan tempat perlindungan dan keperluan asas kepada mereka.

 

Walaupun Malaysia tidak termasuk dalam Konvensyen Pelarian PBB 1951 dan Protokol 1967, namun Malaysia secara konsisten telah memberi bantuan kepada etnik Rohingya atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan.

 

Tahun lepas, apabila berlakunya krisis kemanusiaan di Laut Andaman, Malaysia bersama-sama dengan Indonesia dan Thailand mengambil langkah untuk membantu mereka yang memerlukan.

 

Kami mengadakan pertemuan di Putrajaya untuk berbincang dan menyelesaikan isu tersebut.

 

Hasil mesyuarat itu, perjanjian antara ketiga-tiga negara ini dimeterai untuk memberikan bantuan kemanusiaan dan tempat tinggal sementara kepada 7000 orang yang terkandas di sempadan maritim ketiga-tiga buah negara ini.

 

Kemudian, saya berangkat ke Nay Pyi Tay dan mengadakan pertemuan yang memberangsangkan berkenaan isu tersebut dengan U Wunna Maung Lwin, bekas Menteri Luar Negeri Myanmar.

 

Saya percaya bahawa kita semua tidak mahu melihat berulangnya krisis ini yang berpotensi memberi kesan keselamatan dan kestabilan di rantau ini.

 

Oleh kerana itu, kami percaya bahawa situasi ini merupakan masalah serantau dan perlu diselesaikan bersama.

 

Kami juga percaya bahawa kita tidak boleh melihat isu ini sebagai isu keagamaan, tetapi sebagai krisis kemanusiaan yang serius dan perlu ditangani dengan segera.

 

Malaysia tidak bersendirian dalam melahirkan kebimbangan ini. Pandangan kami dikongsi oleh Encik Vijay Nambiar, Penasihat Khas kepada UNSG. Beliau menyatakan bahawa berikutan lawatan oleh sembilan duta asing dan Penyelaras Residen PBB ke kawasan terjejas, pelbagai agensi PBB telah menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan hak asasi manusia yang berlaku di utara negeri Rakhine.

 

Kami juga bersetuju dengan beliau bahawa Myanmar perlu mengambil langkah yang sepatutnya untuk membina keyakinan di kalangan penduduk tempatan, di samping melindungi semua penduduk tanpa mengira kaum, kepercayaan agama atau status mereka.

 

Walaupun Myanmar mungkin tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai warganegara, namun kita tidak boleh lupa bahawa mereka juga mempunyai hak-hak asasi manusia.

 

Oleh itu, kami percaya bahawa hak-hak asas sivil, ekonomi, sosial dan kebudayaan perlu diberikan kepada semua orang yang tinggal di negeri Rakhine tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

 

Tuan-tuan yang dihormati sekalian,

 

Menurut siasatan yang telah dijalankan oleh Kerajaan Myanmar, seperti yang kita fahami, terdapat serangan ganas yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan pengganas yang dipercayai mempunyai kaitan dan telah dilatih oleh Taliban. Jika dakwaan ini benar, maka kita harus sedar bahawa terdapat kemungkinan bahawa ISIS boleh mengambil kesempatan daripada keadaan ini.

 

Sekali lagi, ini adalah satu isu yang membimbangkan kita sebagai sebuah rantau. Kegiatan pengganas perlu dikutuk sekeras-kerasnya dan ASEAN perlu berada di barisan hadapan dalam memerangi keganasan bagi memelihara keamanan dan kestabilan di rantau ini.

 

Walau bagaimanapun, saya berpendapat bahawa di samping mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu untuk membendung daripada tercetusnya serangan berunsur jenayah di kawasan tersebut, pihak berkuasa di Myanmar juga perlu mengambil langkah-langkah untuk melindungi penduduk tempatan tanpa mengira bangsa atau kepercayaan agama.

 

Dakwaan pencabulan hak asasi manusia terutamanya terhadap beberapa penduduk di negeri Rakhine perlu disiasat.

 

Kofi Annan dalam lawatan pertama beliau ke Sittwe, ibu negeri Rakhine, pada September 2016, berkata “Demi masa hadapan, kedua-dua komuniti utama ini perlu bergerak maju dengan meninggalkan kecurigaan antara satu sama lain yang telah lama bersarang dan mencari jalan untuk bersatu dalam nilai-nilai yang dikongsi bersama seperti keadilan, ketelusan dan kesaksamaan”.

 

Oleh itu, Malaysia menggesa kerajaan Myanmar untuk mengambil semua langkah yang perlu untuk memulihkan keamanan dan kestabilan di kawasan yang terlibat.

 

Kami berharap agar kerajaan Myanmar dapat menangani keadaan dengan cara yang adil dan saksama, mengikut prinsip-prinsip antarabangsa mengenai perlindungan hak asasi manusia yang juga termaktub dalam Piagam ASEAN dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN.

 

 

Dalam hal ini, izinkan saya untuk mengemukakan beberapa cadangan untuk pertimbangan Kerajaan Myanmar dalam usaha untuk maju ke hadapan dalam menangani isu ini:

 

i) Pertama sekali, saya percaya bahawa perkara yang paling penting adalah situasi kemanusiaan rakyat di kawasan yang terlibat.

 

Sebagaimana negara lain, kami menyeru agar bantuan kemanusiaan tidak dihalang untuk disalurkan ke kawasan terjejas.

 

Kofi Annan dalam lawatan beliau ke kawasan terjejas pada awal Disember 2016 juga telah menekankan mengenai perkara ini. Badan-badan kemanusiaan NGO kami bersedia untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Kerajaan Myanmar.

 

Kami juga mencadangkan ASEAN untuk menyelaraskan bantuan kemanusiaan kepada negeri Rakhine, sepertimana yang telah kita lakukan semasa taufan Nargis pada tahun 2008.

 

Organisasi-organisasi kemanusiaan antarabangsa seperti Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) juga perlu diberikan akses penuh ke kawasan terjejas untuk menilai keadaan di sana dan membantu dalam menyediakan bantuan kemanusiaan yang diperlukan;

 

ii) Kedua, saya mencadangkan supaya ASEAN mewujudkan kumpulan pakar-pakar bebas atau kumpulan tokoh-tokoh terkemuka untuk menyiasat dan mengesahkan keadaan di negeri Rakhine bagi membantu kita untuk merumuskan penyelesaian jangka panjang yang berkekalan.

 

Kumpulan berkecuali ini akan memberikan syor kepada kita dalam bergerak maju ke hadapan. Saya percaya bahawa dalam semangat mengekalkan kesepaduan dan Pemusatan ASEAN, kita perlu menangani isu ini secara kolektif.

 

Tuan-tuan yang dihormati,

 

Kita mengakui bahawa isu yang dihadapi oleh Myanmar adalah sangat kompleks dan sukar.

 

Walau bagaimanapun, Kerajaan Malaysia percaya bahawa Myanmar perlu melakukan lebih banyak usaha dalam menangani punca masalah ini.

 

Saya percaya bahawa janji Aung San Suu Kyi untuk menangani punca yang menjejaskan penduduk tempatan - terutamanya berkenaan status kewarganegaraan.

 

Serta memberikan bantuan kepada pelarian sejak tahun 2012 - akan memberikan impak yang berpanjangan dalam meredakan ketegangan dan menggalakkan penyelesaian yang realistik & berkekalan.

 

Saya berharap agar Puan mengambil kira kebimbangan rakan-rakan ASEAN dan masyarakat antarabangsa.

 

Saya juga berharap agar kerajaan Myanmar akan mempertimbangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Menteri-menteri Luar ASEAN.

 

Saya percaya bahawa untuk meyakinkan masyarakat antarabangsa, Kerajaan Myanmar boleh mengeluarkan kenyataan seperti yang dicadangkan oleh Negara-negara Anggota ASEAN.

 

Di pihak Malaysia, kami akan terus menyuarakan kebimbangan kami di samping memberikan bantuan yang diperlukan untuk Myanmar melalui pelbagai platform, sama ada secara dua hala atau melalui ASEAN, OIC, PBB dan platform lain yang berkaitan.

 

Sebelum saya mengakhiri kenyataan saya, saya ingin menyebut sekali lagi bahawa Malaysia sangat menghargai hubungan baiknya dengan Myanmar dan menyokong proses peralihan Myanmar ke arah negara yang lebih demokratik, maju dari segi ekonomi dan inklusif dari segi sosial.

 

Malaysia juga bersedia untuk membantu kerajaan yang diterajui oleh NLD dalam usahanya yang berterusan dalam menjaga keamanan dan perdamaian kebangsaan yang amat penting untuk keamanan dan kestabilan Myanmar, serta rantau ini secara keseluruhannya.

 

Kami berharap agar komen dan cadangan kami akan diberi perhatian serius oleh Kerajaan Myanmar.

 

Kita adalah adik-beradik dalam Komuniti ASEAN, di mana kita memberikan komitmen sepenuhnya untuk memajukan matlamat ASEAN untuk mencapai keamanan, keselamatan dan kestabilan, pertumbuhan ekonomi yang berkekalan, kemakmuran bersama dan kemajuan sosial yang berpanjangan.

 

Terima kasih.


Menteri Luar Negeri,

Datuk Seri Anifah Aman

 

Sumber: Kementerian Luar negeri, Malaysia.

 

 

>> Klik Pada Gambar Untuk Isu Rohingya Terkini <<

 

 

 

Please reload

Kami Bantu Anda Salur Sumbangan Secara Online!

DANA MAPIM

5622 6354 0066

Featured Posts

Massacre in Myanmar - Send Peace Troops Now

August 26, 2017

1/10
Please reload

Recent Posts
Please reload

Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

© 2016 by MAPIM. Proudly created for WWW.MAPIM.ORG

Klik Untuk Dengar Radio Tajaan MAPIM:

Apa yang kami nyatakan di web ini adalah benar dan tepat mengikut fakta semasa dan dari ulasan pengalaman sebenar. Pengunjung dinasihatkan menyumbang dengan mengikuti arahan yang disediakan. Namun kami tidak bertanggungjawab jika sebarang masalah/komplikasi berlaku kepada penyumbang di atas projek, program dan bantuan berdasarkan faktor keselamatan, cuaca dan suasana situasi sebenar.