Bangladesh Setuju Beri VOA

February 6, 2017

SELAT MELAKA 5 Feb. – Kerajaan Bangladesh bersetuju untuk memberi visa ketibaan (VOA) kepada sukarelawan misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla For Myanmar bagi membolehkan mereka menyalurkan bantuan kepada masyarakat Rohingya di negara itu.

 

Ketua misi berkenaan yang juga Presiden Kelab Putra 1 Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini.

 

“Pasukan sukarelawan misi Food Flotilla For Myanmar dijang­ka memasuki tiga kem pelarian etnik Rohingya sebaik sahaja tiba di Teknaf, Bangladesh.

 

“Pasukan misi akan berada di sana selama tiga atau empat hari untuk menyalurkan bantuan,” katanya di sini hari ini.

 

Dalam pada itu beliau berkata, pa­sukan sukarelawan logistik misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla For Myanmar akan melaksanakan tugas mengasingkan barangan bantuan mulai esok bagi melancarkan proses penyerahan di Pelabuhan Yangon, Myanmar, 8 Februari ini.

 

Abdul Azeez berkata, sebanyak 300 tan beras, 50,000 peket mi segera, 12,000 botol air mineral dan 10,000 barangan kebersihan diri akan dipunggah dalam masa dua hari untuk diletakkan di dalam kontena.

 

“Tujuan kita melaksanakan proses pemunggahan lebih awal disebabkan kita mahu menjimatkan masa kerana kita hanya ada 10 jam di Yangon, Myanmar sebelum belayar semula ke Teknaf, Bangladesh.

 

“Apabila kapal ini berada di Pelabuhan Yangon barangan tersebut telah sedia untuk di­serahkan kepada kerajaan Myanmar,” katanya di sini hari ini.

 

Misi Food Flotilla For Myanmar dianjurkan KP1M dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) belayar dari Pelabuhan Klang ke Yangon, Myan­mar dan Teknaf, Bangladesh pada Jumaat lalu.

 

Kapal Nautical Aliya membawa kira-kira 195 aktivis, sukarelawan ASEAN dan antarabangsa serta kira-kira 2,300 tan bekalan makanan termasuk ubat-ubatan bagi membantu masyarakat yang memerlukan terutamanya etnik Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.

Menurut Abdul Azeez, sepanjang pelayaran yang memasuki hari kedua hari ini, pelbagai aktivi­ti dilakukan oleh para sukarelawan termasuk simulasi latihan kecemasan oleh pasukan perubatan.

 

“Tujuan kita melaksanakan simulasi latihan kecemasan ini adalah kerana kita mahu para sukarelawan sentiasa dalam keada­an bersiap sedia jika berlaku kecemasan,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, menyentuh mengenai soal keselamatan sepanjang Nautical Aliya berada di laut, beliau memberitahu, kapal tersebut kini berada di perairan terbuka Laut Andaman dan selepas pukul 10 malam, semua pintu di dek akan dikunci dan tiada sesiapa dibenarkan berada di luar dek.

 

“Kita kena ambil langkah berjaga-jaga kerana tidak mahu sesuatu yang buruk menimpa para sukarelawan.

 

“Para sukarelawan juga turut dibahagikan tugas bergilir-gilir menjaga keselamatan ketika waktu malam,” katanya.

 

Sementara itu, Kapten Nautical Aliya, Mohamad Firdaus Faisal Mohamed, 42, berkata, kelajuan kapal adalah sembilan knots dan dijangka memasuki sempadan perairan Malaysia-Thailand kira-kira pukul 12 tengah malam ini.

 

Please reload

Kami Bantu Anda Salur Sumbangan Secara Online!

DANA MAPIM

5622 6354 0066

Featured Posts

Massacre in Myanmar - Send Peace Troops Now

August 26, 2017

1/10
Please reload

Recent Posts
Please reload

Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

© 2016 by MAPIM. Proudly created for WWW.MAPIM.ORG

Klik Untuk Dengar Radio Tajaan MAPIM:

Apa yang kami nyatakan di web ini adalah benar dan tepat mengikut fakta semasa dan dari ulasan pengalaman sebenar. Pengunjung dinasihatkan menyumbang dengan mengikuti arahan yang disediakan. Namun kami tidak bertanggungjawab jika sebarang masalah/komplikasi berlaku kepada penyumbang di atas projek, program dan bantuan berdasarkan faktor keselamatan, cuaca dan suasana situasi sebenar.