Misi Ramadan di Empat Negara

March 27, 2017

 

Shah Alam: Selepas kejayaan ‘Food Flotilla For Myanmar’ (FFFM), gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa menerusi satu sekretariat khas akan melaksanakan Misi Ramadan di empat negara pada Jun ini.

 

Misi bantuan kemanusiaan itu membabitkan barangan keperluan makanan, ubat-ubatan, khemah dan tiub telaga di Somalia, Syria, Myanmar dan Gaza, Palestin.

 

Semalam, Sekretariat Khas Kemanusiaan NGO Malaysia dan Antarabangsa (MAINS) itu ditubuhkan merangkumi 27 organisasi termasuk lima dari luar negara seperti Perancis, Indonesia dan Thailand.

 

Pengerusi Penaja MAINS Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menganggarkan dana berjumlah RM10 juta diperlukan untuk misi khas yang dijalankan di semua negara itu bermula Ramadan ini.

 

“Selain faktor dana, kita (sekretariat) sedang mengumpul maklumat mengenal pasti bentuk atau saluran bantuan yang akan dilakukan secara berperingkat.

 

“Contoh, Somalia kini dilanda musim kemarau dan amat memerlukan bantuan makanan manakala Gaza serta Syria masing-masing memerlukan telaga tiub dan khemah. Justeru, bantuan itu perlu disenaraikan secara terperinci,” katanya selepas sidang khas Pasca FFFM di sini, semalam.

 

Pada majlis itu, 18 deklarasi dipersetujui antaranya menggesa agensi kemanusiaan memulakan projek ekonomi di Bangladesh dan Myanmar supaya pelarian Rohingnya dapat menampung keperluan asas selain perhatian serius dalam aspek rawatan kesihatan serta bekalan perubatan.

 

Menurut Azmi yang juga Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), penubuhan sekretariat itu bertujuan menyelaraskan semua NGO untuk bersama melaksanakan gerak kerja kemanusiaan di pelbagai lokasi sama ada kawasan konflik atau bencana alam.

 

“Pengalaman menerusi FFFM lalu membuktikan kekukuhan mesej kemanusiaan dan turut mendapat perhatian pelbagai pihak menerusi semangat kebersamaan yang kuat dalam misi itu,” katanya.

 

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan memberi sokongan penuh kepada MAINS bagi membolehkan pelaksanaan Misi Ramadan berjalan lancar terutama membabitkan urusan diplomatik dan keluar masuk ke negara berkaitan.

 

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan untuk misi kemanusiaan itu boleh menyalurkannya kepada MAPIM sebelum satu tabung khas ditetapkan kelak.

 

Pada 23 Februari lalu, FFFM menamatkan misi kemanusiaan selama 20 hari selepas kapal Nautical Aliya selamat berlabuh di dermaga Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang.

 

Selain semua 183 sukarelawan dan 17 kru pulang dalam keadaan selamat, misi khas bagi isu pelarian etnik Rohingya itu turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai misi kemanusiaan terbesar yang dihantar ke sesebuah negara.

 

Pelayaran misi itu berjaya menghantar 2,300 tan makanan dan ubat-ubatan ke wilayah Rakhine, Myanmar dan Teknaf, Bangladesh, sejak 3 Februari lalu.

 

Kapal kemanusiaan diterajui Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) dan MAPIM itu disokong lebih 30 NGO ASEAN dan antarabangsa.

 

 

Please reload

Kami Bantu Anda Salur Sumbangan Secara Online!

DANA MAPIM

5622 6354 0066

Featured Posts

Massacre in Myanmar - Send Peace Troops Now

August 26, 2017

1/10
Please reload

Recent Posts
Please reload

Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

© 2016 by MAPIM. Proudly created for WWW.MAPIM.ORG

Klik Untuk Dengar Radio Tajaan MAPIM:

Apa yang kami nyatakan di web ini adalah benar dan tepat mengikut fakta semasa dan dari ulasan pengalaman sebenar. Pengunjung dinasihatkan menyumbang dengan mengikuti arahan yang disediakan. Namun kami tidak bertanggungjawab jika sebarang masalah/komplikasi berlaku kepada penyumbang di atas projek, program dan bantuan berdasarkan faktor keselamatan, cuaca dan suasana situasi sebenar.