Dibunuh Kerana Islam!

December 3, 2017

 

“KENAPA Rohingya dibunuh?” Dia tunduk sambil mengumam hampir tidak keluar perkataan, “Sebab mereka Islam.”

 

Itulah jawapan yang diberikan oleh Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi apabila Cikgu Azmi berdepan dengannya berhubung isu pembunuhan beramai-ramai bangsa Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar.

 

Jawapan memang tidak dijangka keluar daripada mulut seorang pemimpin yang terkenal di seluruh dunia sebagai pemimpin kuat memperjuang demokrasi dan hak asasi manusia, yang juga penerima anugerah Keamanan Nobel kerana memperjuang keamanan.

 

Oleh itu memang jelas dan nyata pelbagai senario sengaja direka-reka termasuk kumpulan pembebasan Arakan yang dikatakan menyerang pondok kawalan tentera di wilayah tersebut.

 

Ia bagi menghalalkan sebarang bentuk tindakan penghapusan etnik dan pada masa sama membelenggu kuasa-kuasa besar dunia serta pelbagai pertubuhan antarabangsa daripada campur tangan menghentikannya semata-mata kerana ia bertujuan menghapuskan pengganas.

 

Jika mana-mana negara atau pihak yang campur tangan bermakna negara mereka menyokong pengganas.

 

Tidak cukup itu poster juga ditabur di seluruh Myanmar yang kononnya kaum Rohingya beragama Islam kini sedang merancang gerakan untuk mengambil alih negara berkenaan dan akan membunuh semua yang tidak beragama Islam. Hinggakan laungan azan menyeru umat Islam menunaikan solat sengaja diterjemah kepada laungan supaya penganut Islam membunuh mereka yang bukan beragama Islam. Gerakan keji itu dilakukan oleh sekumpulan sami Buddha yang kini menguasai kerajaan.

 

Kebencian terhadap Rohingya memang telah ditanam sejak berdekad-dekad lalu kerana mereka dikatakan bukan rakyat asal Myanmar dan tidak berhak dilayan sewajarnya.

Jika dilihat kebelakang lagi, sebenarnya Kapten Hiram Cox telah dihantar oleh Syarikat Hindia Timur ke Palongkee, Bangladesh bagi menyelesaikan masalah pelarian Rohingya pada tahun 1790-an lagi.

 

Beliau bagaimanapun meninggal dunia pada tahun 1799 dengan kegagalan menyelesaikan masalah pelarian yang berlarutan hingga hari ini.

 

Bagi melawan kempen negatif itu Cikgu Azmi atau nama penuh Mohd. Azmi Abdul Hamid yang juga Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) telah berhubung dengan Dalai Lama iaitu pemimpin Buddha yang dihormati supaya mengeluarkan kenyataan bahawa ajaran agama berkenaan tidak membenarkan tindakan ganas sedemikian.

 

Selepas desakan demi desakan akhirnya Dalai Lama mengeluarkan kenyataan bahawa agama Buddha melarang penganutnya bertindak ganas membunuh penganut agama lain.

 

Bagaimanapun kenyataan itu tidak diendahkan, sebaliknya tentera Myanmar terus ghairah melancarkan gerakan pengusiran dan penghapusan etnik Rohingya dari tanah air mereka.

Senjata yang digunakan adalah rogol. Anggota tentera bukan saja menembak lelaki dewasa Rohingya secara berama-ramai, tetapi juga membunuh kanak-kanak, manakala kaum wanita pula dirogol.

 

Taktik itu berkesan menimbulkan ketakutan menyebabkan kini lebih 600,000 pelarian Rohingya membanjiri Bangladesh ekoran tindakan ketenteraan dijalankan pada 25 Ogos lalu.

 

Rakaman video seorang gadis Rohingya berusia 14 tahun yang diselamatkan dan dibawa lari ke Bangladesh dalam keadaan tidak bermaya selepas dirogol bergilir-gilir oleh tentera Myanmar memang sangat memilukan.

 

Itu antara cerita yang Cikgu Azmi kongsikan dengan saya sepanjang lima hari kami di Bangladesh bagi menggerakkan bantuan kemanusiaan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs serta disokong oleh Yayasan Kumpulan Utusan yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Noordin Abbas dan Mapim.

 

Selain itu beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Humaniti Malaysia yang turut bernaung bawah Mapim juga membantu usaha berkenaan selain bergerak aktif mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya mengambil tindakan dan menekan pemerintah Myanmar.

 

NGO berkenaan sedang menggerakkan usaha supaya ditempatkan tentera pengaman PBB di wilayah bergolak itu dan pada masa sama, etnik Rohingya dibenarkan pulang ke tanah air mereka dengan selamat serta dijamin kerakyatan dan dilayan sama rata sebagai rakyat Myanmar yang lain.

 

FAKTA PELARIAN DI COX’S BAZAR

  • 7 peratus ketua berusia 
60 tahun ke atas

  •   4 peratus ketua keluarga adalah kanak-kanak

  •   90 peratus ibu mempunyai anak kecil

  •   0.2 peratus atau 1,480 kanak-kanak tidak mempunyai ibu dan bapa

  •   60 peratus pelarian ialah kanak-kanak

  •  1.2 juta pelarian Rohingya dianggarkan telah memasuki Cox’ Bazar, Bangladesh


 

Please reload

Kami Bantu Anda Salur Sumbangan Secara Online!

DANA MAPIM

5622 6354 0066

Featured Posts

Massacre in Myanmar - Send Peace Troops Now

August 26, 2017

1/10
Please reload

Recent Posts
Please reload

Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

© 2016 by MAPIM. Proudly created for WWW.MAPIM.ORG

Klik Untuk Dengar Radio Tajaan MAPIM:

Apa yang kami nyatakan di web ini adalah benar dan tepat mengikut fakta semasa dan dari ulasan pengalaman sebenar. Pengunjung dinasihatkan menyumbang dengan mengikuti arahan yang disediakan. Namun kami tidak bertanggungjawab jika sebarang masalah/komplikasi berlaku kepada penyumbang di atas projek, program dan bantuan berdasarkan faktor keselamatan, cuaca dan suasana situasi sebenar.