Malaysia Paling Lantang Pertahan Baitulmuqaddis

December 14, 2017

 

PUTRAJAYA 13 Dis. - Malaysia perlu menjadi antara negara paling lantang mewakili negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mendesak Amerika Syarikat (AS) membatalkan hasrat menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Ahli Jawatankuasa Kluster Politik, Kese­lamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Mohd. Kamarulnizam Abdullah berkata, tindakan itu sebagai memperjuangkan hak keadilan sejagat selain mengutamakan prinsip perjua­ngan negara Islam.

 

“Malaysia perlu kekal menjadi kumpulan pendesak dalam OIC dengan mencadangkan agar negara-negara OIC mengetepikan isu politik sedia ada demi ke­langsungan perdamaian di rantau Teluk.

 

“Saya juga merasakan OIC perlu beri peranan dengan mengaitkan isu-isu boikot produk Israel, ini adalah langkah ekstrem namun ia perlu mendapat soko­ngan dan desakan berterusan oleh negara-negara OIC,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar berhubung sokongan MPN kepada kerajaan Malaysia dalam menentang tindakan Presiden AS, Donald Trump yang mahu mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

 

Sementara itu, Ahli Bersekutu MPN, Dr. Aminurraasyid Yatiban berkata, telah tiba masanya untuk negara-negara OIC yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel mengkaji semula dasar itu kerana diyakini akan menjadi satu titik perubahan yang besar untuk OIC.


Di samping itu katanya, adalah baik jika Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC yang sedang berlangsung ini mendesak Trump menjadi Presiden AS pertama membatalkan Akta 1995 Kedutaan Jerusalem yang diluluskan sendiri oleh kong­res negara kuasa besar itu.

 

“Jika Trump berjaya membatalkan akta tersebut, tidak mustahil tindakannya itu akan memberi impak besar kepada masalah dunia yang lebih luas, tetapi se­perti yang kita tahu, Trump adalah antara Presiden AS yang mendapat sokongan paling ramai oleh masyarakat Yahudi.

 

Oleh itu, apa yang boleh dilakukan pada masa ini adalah OIC harus terus memperjuangkan komitmen membantu memperjuangkan hak keadilan rakyat Palestin seperti yang dipersetujui dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

 

Dalam pada itu, Aminurraa­syid mewakili MPN memuji tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas komitmennya yang membawa nama Malaysia untuk tetap mempertahankan hak pembebasan rakyat Palestin.

 

“Tahniah untuk kerajaan Malaysia yang sehingga hari ini tidak pernah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel malah terus menentang tindakan negara itu yang tidak henti-henti menzalimi rakyat Palestin,” katanya.

Please reload

Kami Bantu Anda Salur Sumbangan Secara Online!

DANA MAPIM

5622 6354 0066

Featured Posts

Massacre in Myanmar - Send Peace Troops Now

August 26, 2017

1/10
Please reload

Recent Posts
Please reload

Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

© 2016 by MAPIM. Proudly created for WWW.MAPIM.ORG

Klik Untuk Dengar Radio Tajaan MAPIM:

Apa yang kami nyatakan di web ini adalah benar dan tepat mengikut fakta semasa dan dari ulasan pengalaman sebenar. Pengunjung dinasihatkan menyumbang dengan mengikuti arahan yang disediakan. Namun kami tidak bertanggungjawab jika sebarang masalah/komplikasi berlaku kepada penyumbang di atas projek, program dan bantuan berdasarkan faktor keselamatan, cuaca dan suasana situasi sebenar.