AS, Boikot Dan Perpaduan Islam

SERINGKALI apabila Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya membuat provokasi atas tujuan menggugat keselamatan umat Islam, tindak balas seperti laungan memboikot barangan keluaran negara musuh, berhimpun di depan kedutaan serta membakar replika patung pemimpin mereka antara kebiasaan dilakukan masyarakat antarabangsa termasuklah di Malaysia.
Tindakan itu mungkin dianggap langkah paling ideal untuk mengecam sikap biadab negara terbabit agar menghentikan tindakan menekan serta menindas negara-negara Islam.
Keputusan Presiden Donald J. Trump melunaskan salah satu manifesto kempen pilihan raya yang dijalankan tahun lepas iaitu mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember lalu seolah-olah menggugurkan sebutir bom atom ke atas bumi Palestin.
Pengumuman mengejut itu bukan hanya memberi kesan terhadap umat Islam Palestin tetapi turut merobek jantung Muslim di seluruh dunia kerana Baitulmuqaddis adalah tempat suci ketiga bagi orang Islam selepas Mekah dan Madinah.
Pelan damai antara Palestin dengan Israel ketika ini yang bertujuan mencari jalan penyelesaian kepada pertikaian antara dua negara ini khususnya dalam soal pemilikan Baitulmuqaddis dilihat berkemungkinan besar akan terhenti tanpa sebarang keputusan susulan tindakan AS yang telah membuat keputusan secara unilateral mengisytihar tempat suci itu sebagai ibu negara Israel.
Tindakan sombong pemimpin parti Republikan AS itu membelakangi undang-undang antarabangsa dalam membuat keputusan berhubung Baitulmuqaddis digambarkan seperti cuba bermain api untuk menjadikan geopolitik Asia Barat supaya terus berada dalam keadaan semakin kucar-kacir.
Terbaharu kita dikhabarkan dengan berita serangan bom melalui udara dan kereta kebal oleh Israel terhadap puak Hamas di Genting Gaza kerana mendakwa serangan roket telah dilakukan oleh kumpulan tersebut ke selatan Israel.
Ketua Biro Politik Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) baru-baru ini isytihar intifada ketiga bagi menentang rejim Israel untuk memastikan Baitulmuqaddis terus menjadi milik negara mereka, namun sehingga kini didapati terdapat 1,100 orang telah tercedera melalui kebangkitan tersebut.
Maka, sangatlah signifikan jika dikatakan pengumuman Trump itu semata-mata untuk memastikan penaklukan Israel secara haram ke atas bumi Palestin sejak 1948 diteruskan sampai bila-bila dan tindakan AS yang mahu menjadi perantara kepada pelan damai antara Palestin dengan Israel hanyalah langkah retorik.
Pergolakan di beberapa buah negara Islam seperti Syria dan Lebanon, hubungan dingin melibatkan negara-negara Teluk seperti Qatar dan negara Arab lain, serta konflik Iran dan Arab Saudi mungkin dilihat sebagai peluang terhidang yang perlu dimanfaatkan Trump untuk memenuhi tuntutan janji pilihan raya beliau bagi memastikan pengundi berbangsa Yahudi di AS terus menyokong nya pada pemilihan presiden akan datang.
Realitinya, percaturan politik pemimpin negara kuasa besar tidak hanya melibatkan sentuhan manifesto domestik seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup dan sebagainya, tetapi turut melibatkan peringkat global yang mampu mengubah kestabilan geopolitik dunia seperti mana yang sedang dihadapi oleh negara Palestin hari ini.
Individu yang mahu kekal menjadi presiden adalah Trump, tetapi mereka yang menjadi mangsa serangan bom adalah insan tidak bersalah di bumi Palestin.Persoalannya, apakah Trump akan menarik balik kenyataan beliau berkaitan Baitulmuqaddis yang diiktiraf sebagai ibu negara Israel selepas masyarakat dunia khususnya umat Islam membuat bantahan di hadapan kedutaan AS di negara masing-masing?
Mampukah seruan memboikot produk keluaran AS menggugat pendirian negara kuasa besar itu? Persoalan paling penting yang perlu kita jawab, apakah seruan memboikot ekonomi AS itu mampu dilakukan secara istiqamah atau hanya bermusim sewaktu negara Uncle Sam itu membuat provokasi sensasi?
Memboikot ekonomi AS yang paling mudah berdasarkan kemampuan individu adalah dengan tidak membeli atau menggunakan produk dikeluarkan negara tersebut.
Namun, mengikut statistik sehingga kini di Malaysia, pengguna Facebook ciptaan Mark Zukerberg berbangsa Yahudi itu telah mencecah angka 22 juta orang, iaitu pengguna tertinggi di dunia.
Media sosial seperti Facebook hari ini bagaikan makanan harian kepada rakyat Malaysia termasuk dijadikan medium pengiklanan untuk memajukan perniagaan masing-masing.
Bersediakah kita kehilangan aktiviti lazim memuat naik gambar di Facebook untuk tatapan kenalan jauh?
Itu tidak termasuk lagi mengulas berkenaan produk-produk lain yang menjadi pilihan umat Islam khususnya di negara ini.
Bersediakah rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan di syarikat penerbangan AirAsia dan MAS, jika Malaysia mengambil tindakan menjual kembali dan menghentikan pembelian pesawat Boeing keluaran AS?
Persoalan itu, mungkin kedengaran dangkal serta dilihat sangat materialistik, namun jangan kita nafikan bahawa pesawat inilah digunakan oleh jemaah Muslim untuk menunaikan umrah di kota suci Mekah.
Justeru, apakah terdapat kewajarannya apabila ada pihak-pihak tertentu di Malaysia yang sedang mendesak kerajaan supaya memutuskan hubungan diplomatik dengan negara AS bagi mengecam tindakan Trump itu?
Memboikot barangan AS tidak memberi apa-apa maksud jika kita tidak mampu menyokong barangan keluaran tempatan untuk meningkatkan ekonomi negara.
Kita mungkin boleh menekan AS dan Israel andai negara Islam bersatu hati menjadi negara pengeluar, dan pengimbang kuasa ekonomi dunia.
Hakikatnya, siapa bergantung kepada siapa hari ini? Apatah lagi perpaduan sesama Muslim juga dilihat semakin goyah dan longgar.