Israel Pengganas, Pembunuh – Erdogan

ISTANBUL 11 Dis. - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan Israel sebagai ‘negara pengganas’ dan ‘pembunuh’ selain berikrar akan menggunakan segala ‘kemampuan yang ada’ untuk menentang tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.
Ketika berucap dalam satu program di Sivas, Erdogan turut mendakwa Palestin sebagai mangsa yang tidak bersalah.
“Kami (Turki) tidak akan membiarkan Baitulmuqaddis jatuh ke tangan negara yang membunuh kanak-kanak (merujuk kepada Israel),” katanya seperti dilaporkan Arab News.Portal CNN pula melaporkan, Erdogan bersedia mempertahankan tindakan mereka berdasarkan undang-undang dan prinsip demokrasi sedia ada
Namun begitu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam maklum balas segeranya menjawab tuduhan tersebut secara sinis.
“Dia (Erdogan) bukanlah orang yang layak untuk memberi syarahan kepada kami,” katanya penuh angkuh.
Netanyahu dalam pada itu mahu penduduk Palestin berdepan dengan ‘realiti’ bahawa Baitulmuqaddis adalah ibu negara Israel sekiranya mahu rundingan damai dimuktamadkan.
“Baitulmuqaddis telah menjadi ibu negara Israel sejak 3,000 tahun lalu dan ‘tidak pernah menjadi ibu negara bagi penduduk lain’,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Paris.
Dalam perkembangan berkaitan, Turki mahu kesemua 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersatu menentang pengiktirafan tersebut menjelang sidang kemuncak tergempar pertubuhan itu yang dijadualkan pada Rabu ini.
Duta Turki, Yunus Demirer berkata, keputusan AS untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel bukan sahaja tidak rasional, malah melanggar undang-undang antarabangsa terutamanya Resolusi 478 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disokong AS sebelum ini.
“Atas dasar itu, Turki membantah sekeras-kerasnya keputusan berkenaan yang turut mengancam rundingan damai antara Palestin dan Israel yang telah berlangsung sejak beberapa dekad lalu,” katanya.
Setakat ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi telah mengesahkan kehadiran pada sidang kemuncak berkenaan.
Sementara itu, beberapa tunjuk perasaan terus diadakan di Asia Barat serta beberapa negara lain termasuk Asia Tenggara susulan pengisytiharan Presiden Donald Trump mengenai kedudukan Baitulmuqaddis.
Setakat ini, jumlah mangsa yang cedera akibat tunjuk perasaan itu khususnya di Palestin dikatakan melebihi 1,100 orang