Mampukah Rohingya Hidup Bermaruah?

January 5, 2018

 

ROHINGYA barangkali menjadi perkataan paling tinggi dalam carian pelayan Google di dunia, ketika ini.

 

Pejabat diplomat Bangladesh di luar negara, khususnya di rantau Asia, pula tentunya menerima permohonan visa mendadak daripada individu atau organisasi untuk masuk ke negara dengan 160 juta populasi itu.

 

Mana tidaknya, semua pihak mahu masuk ke Bangladesh untuk menterjemahkan simpati mereka dengan menyampaikan bantuan kemanusiaan dari segi makanan, khemah hinggalah membina telaga dan tandas untuk etnik paling ditindas di dunia itu.

 

Ada juga berhasrat untuk ke wilayah Cox's Bazar, pusat pelancongan terkenal bertukar kepada lokasi penempatan pelarian terbesar di Asia Tenggara, untuk melihat sendiri keadaan di kem dan penempatan pelarian Rohingya seperti di Kutupalong dan Balukhali.

 

Dua kawasan yang terletak di bawah sub-daerah Ukhia di bawah Cox's Bazar itu disifatkan sebagai "kem pelarian mega" dengan lebih 250,000 pelarian Rohingya baharu, berlindung di kawasan itu.

 

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 480,000 pelarian Rohingya yang baru tiba di Bangladesh sejak 25 Ogos lalu. Mereka lari daripada kekejaman tentera Myanmar di utara Rakhine yang didakwa melakukan pembersihan etnik.

 

Sesiapa sahaja yang melewati jalan utama dari Cox's Bazar ke Teknaf tentu menyedari mereka sudah menghampiri Kutupalong atau Balukhali.

 

Ini kerana laluan yang menghubungkan Cox's Bazar dengan lokasi pelancongan Pulau Saint Martin di sempadan Bangladesh-Myanmar itu dipenuhi ribuan pelarian Rohingya yang menagih simpati di jalanan.

 

Anak-anak kecil berlari tanpa berbaju dan berselipar. Ibu mengendong anak kecil manakala warga emas yang kudratnya rapuh dan meminta-minta di jalanan, adalah pemandangan biasa di situ.

 

Meskipun tiada lagi khemah kecil berbumbung plastik di kiri dan kanan jalan utama dua lorong itu, ribuan pelarian Rohingya tetap menjadikan sisi jalan sebagai tempat berteduh. Ada juga yang makan dan tidur di situ.

 

Dari semasa ke semasa, pihak berkuasa akan mengingatkan pelarian Rohingya melalui corong pembesar suara kenderaan khas supaya pelarian tidak duduk di tepi jalan untuk mengelakkan insiden tidak diingini.

 

Menghampiri kawasan kem dan penempatan pelarian Rohingya, misalnya di Kutupalong dan Balukhali, kelihatan deretan "rumah" pelarian Rohingya di lereng bukit menjadikannya magnet kepada lensa jurugambar dan penggemar "selfie".

 

Kehadiran tentera, polis dan pengawal sempadan Bangladesh juga dirasai dengan jelas khususnya ketika memasuki sub-daerah Ukhia.

 

Di situ terdapat pos tentera yang bertindak sebagai pusat pendaftaran kenderaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan program kemanusiaan di kem dan penempatan pelarian Rohingya, termasuk di Mainnerghona yang menempatkan lebih 70,000 pelarian.

 

Pos tentera itu juga menjadi garisan akhir kepada perjalanan pelarian Rohingya yang baru tiba. Mereka hanya dibenarkan berlindung di kem dan penempatan dibenarkan selepas tiba di sempadan.

 

"Memang benar Bangladesh terima pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan, tetapi kita juga kena jaga soal keselamatan negara.

 

"Ketika ini, sentimen majoriti rakyat Bangladesh bersama kerajaan. Apa boleh kita buat bila lebih 400,000 pelarian Rohingya tiba di sempadan. Takkan kita nak tembak mereka seperti tentera Myanmar," kata seorang petugas perubatan di klinik statik di kem Balukhali yang tidak dinamakan atas faktor keselamatan.

 

Ada dalam kalangan rakyat Bangladesh bimbang krisis di barat Myanmar yang menyaksikan penindasan dan kekejaman tentera Myanmar dan pelampau Rakhine Buddha, akan mengundang masalah lebih parah.

 

Ini merujuk kepada amaran pihak berkuasa kemungkinan krisis itu akan menarik golongan ekstremis khususnya dari rantau ini, untuk bergabung dengan militan ARSA di Rakhine dan menentang tentera Myanmar.

 

"Kebimbangan ini berpunca dari Islamphobia. Tiada siapa yang tahu ARSA ini berasal dari mana, malah ada pandangan mengatakan kumpulan itu diwujudkan tentera Myanmar sendiri untuk membolehkan mereka meneruskan kekejaman," kata Pengerusi Burma Task Force USA, Imam Abdul Malik Mujahid.

 

ARSA juga dilabelkan sebagai pengganas oleh Yangon, tindakan pelik kerana Myanmar tidak pernah melabelkan kumpulan etnik lain di Myanmar yang menentangnya sejak berpuluh-puluh tahun dengan istilah sama.

 

Etnik Kachin beragama Kristian yang mempunyai tentera dan menentang Yangon sejak berpuluh-puluh tahun untuk mendapatkan autonomi misalnya, tidak pernah dilabelkan sebagai kumpulan pengganas oleh Kerajaan Myanmar.

 

Tentera Myanmar dilaporkan melakukan operasi berdarah di utara Rakhine sejak 25 Ogos selepas militan menyerang pos pasukan keselamatan menyebabkan ratusan ribuan etnik Rohingya melarikan diri selepas rumah mereka dibakar, malah ada dibunuh dan dirogol.

 

"Ini untuk alih pandangan dunia dari isu sebenar iaitu masalah kewarganegaraan Rohingya. Itu punca konflik di Rakhine, bukannya sentimen pengganas atau masalah agama," kata Dr Chandra Muzaffar, aktivis dan penganalisis politik dari Malaysia.

 

Rohingya tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar sejak penggubalan Undang-Undang Kewarganegaraan 1982 walaupun sejarah mencatatkan etnik itu menetap di Arakan (nama lama Rakhine) sejak berkurun lamanya sebelum Rohingya menerima Islam.

 

"Rohingya bukan orang Benggali tapi Myanmar, kena tolong sebab mereka Islam," kata penduduk tempatan, Saiful Alam, 28, dari Palongkhali, kira-kira 30 minit dari kem pelarian Rohingya di Kutupalong.

 

Saiful Alam antara penduduk tempatan yang simpati dengan pelarian Rohingya dan menyokong pendirian Dhaka membuka pintu sempadan, sikap berbeza jika dibandingkan dengan dasar Bangladesh sebelum ini.

 

Di sempadan Teknaf, wartawan BH mendapati ramai penduduk tempatan khususnya kelompok tabligh, turun padang menyampaikan bantuan kepada pelarian Rohingya yang baru tiba dari Myanmar dengan menaiki bot, menyeberangi Sungai Naf.

 

Persoalannya, adakah Bangladesh mampu menanggung beban menyediakan perlindungan kepada ratusan ribuan pelarian Rohingya tanpa bantuan asing dan sehingga bila sentimen agama dalam isu Rohingya mampu bertahan?

 

Hanya masa akan menentukan nasib Rohingya selepas ini, sama ada mereka akan pulang dengan aman ke Myanmar atau hidup bermaruah sebagai pelarian di Bangladesh.

Please reload

Kami Bantu Anda Salur Sumbangan Secara Online!

DANA MAPIM

5622 6354 0066

Featured Posts

Massacre in Myanmar - Send Peace Troops Now

August 26, 2017

1/10
Please reload

Recent Posts
Please reload

Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

© 2016 by MAPIM. Proudly created for WWW.MAPIM.ORG

Klik Untuk Dengar Radio Tajaan MAPIM:

Apa yang kami nyatakan di web ini adalah benar dan tepat mengikut fakta semasa dan dari ulasan pengalaman sebenar. Pengunjung dinasihatkan menyumbang dengan mengikuti arahan yang disediakan. Namun kami tidak bertanggungjawab jika sebarang masalah/komplikasi berlaku kepada penyumbang di atas projek, program dan bantuan berdasarkan faktor keselamatan, cuaca dan suasana situasi sebenar.