Baitulmaqdis Bukan Untuk Dijual!

PRESIDEN Palestin Mahmud Abbas menegaskan Baitulmaqdis ‘BUKAN UNTUK DIJUAL’ berikutan ancaman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mahu mengurangkan bantuan tahunan berjumlah lebih AS$300 juta bagi memaksa Palestin kembali ke meja rundingan.
“Baitulmaqdis ialah ibu negara Palestin dan ia tidak akan dijual walaupun ditawarkan emas atau berbilion dolar,” kata jurucakap Abas, Nabil Abu Rudeina.
Trump membuat ancaman itu melalui Twitter hari ini, apabila menulis: “Kita membayar RATUSAN JUTA DOLAR setahun kepada Palestin namun mereka tidak menghargai atau menghormati.
“Palestin tidak lagi mahu berunding, kenapa kita perlu terus membuat bayaran yang banyak ini kepada mereka?”
Kerajaan Amerika menyediakan peruntukan bernilai AS$319 juta (RM1.3 bilion) pada 2016 untuk Pihak Berkuasa Palestin. Bajet Amerika turut memberi bantuan tambahan AS$304 juta (RM1.2 bilion) untuk program PBB di Tebing Barat dan Gaza.
Bantuan dan program PBB itu dianggap banyak pihak, termasuk Israel bagi membantu kestabilan di wilayah Palestin.