Rumah Ranap Sekelip Mata Dibadai Tsunami

October 9, 2018

 

MATANYA suram merenung kosong jauh ke arah laut dan fikirannya masih bercelaru memikirkan bagaimana laut yang begitu tenang bukan sahaja memusnahkan seluruh kebahagiaannya sekeluarga, malah ribuan penduduk lain yang menetap di pesisir Pantai Talise di sini.

 

Rosman Hasarudin, 47, berkata kejadian pada petang 28 September lalu yang menyebabkan laut menggulung setinggi pokok kelapa, melenyapkan rumah didiami sejak berpuluh tahun lalu.

 

Beliau yang ditemui wartawan hanya mampu duduk lesu pada tangga batu di tapak peninggalan rumahnya dan tangga itu satu-satunya bahagian rumah yang terselamat tidak dihanyutkan ombak tsunami.

 

“Hanya 30 saat, mungkin lebih cepat daripada itu...ombak tsunami muncul ganas dan memecahkan dinding kayu rumah sebelum mencabut semua tiang dan bumbung.

 

“Ombak kedua lebih besar kemudian datang sebelum menyapu bersih seluruh isi rumah. Hanya tangga hadapan rumah ini yang tidak dibawa ombak,” katanya yang bekerja di sebuah kuari batu berhampiran.

 

 

 

Rosman berkata, dua motosikal dan kereta miliknya juga turut lenyap dan tidak ditemui hingga kini.

 

Walaupun terselamat, dia bersama lapan ahli keluarga lain bingung memikirkan sampai bila terus menghuni khemah ‘pelarian’ bencana di atas bukit, tanpa tandas dan air bersih, selain tiada bekalan elektrik.

 

“Ada yang ajak berpindah ke kabupaten (daerah) atau kota lain dan mulakan hidup baharu di sana, namun kami tiada wang dan saudara-mara lain,” katanya.

 

Hanya tinggal lantai

 

Seorang lagi mangsa, Winda Lantauba, 48, dan suaminya, Sudarman Majid, 52 ,hanya mampu mengumpul sisa periuk, sudu dan pinggan daripada tinggalan tapak rumah mereka yang musnah akibat tsunami.

 

“Rumah besar kami terletak kurang 100 meter dari gigi pantai Talise, kini hanya tinggal lantai simen dan kayu buruk,” katanya.

 

 

 

Winda berkata, dia sempat menggendong dua cucunya, Lingar Idrus, 5, dan Afifah Idrus, 2, sebelum lari ke arah bukit terletak hampir satu kilometer dari pantai.

 

“Saya masih ingat ombak tsunami mengejar laju dan ramai mangsa terjatuh ketika berlari serta lenyap ditelan gelombang tsunami. Mereka mati begitu saja,” katanya.

 

Dia turut menitis air mata sesekali mencium dua cucunya yang merintih haus lapar.

 

Wartawan yang membuat tinjauan sekitar perkampungan Talise, Timur Palu di sini, semalam, mendapati tinggalan kesan kemusnahan tsunami masih jelas kelihatan sepanjang hampir 10 kilometer.

 

Tiada usaha pembersihan dilakukan secara besar-besaran oleh pihak berkuasa, selain hanya jalan utama melalui kawasan itu boleh digunakan kenderaan.

 

Sisa kayu, bongkah batu, kediaman yang hancur, selain pelbagai kenderaan rosak dibiarkan tersadai di merata tempat.

 

Sumber :

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/10/483563/rumah-ranap-sekelip-mata-dibadai-tsunami

Please reload

Kami Bantu Anda Salur Sumbangan Secara Online!

DANA MAPIM

5622 6354 0066

Featured Posts

Massacre in Myanmar - Send Peace Troops Now

August 26, 2017

1/10
Please reload

Recent Posts
Please reload

Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

© 2016 by MAPIM. Proudly created for WWW.MAPIM.ORG

Klik Untuk Dengar Radio Tajaan MAPIM:

Apa yang kami nyatakan di web ini adalah benar dan tepat mengikut fakta semasa dan dari ulasan pengalaman sebenar. Pengunjung dinasihatkan menyumbang dengan mengikuti arahan yang disediakan. Namun kami tidak bertanggungjawab jika sebarang masalah/komplikasi berlaku kepada penyumbang di atas projek, program dan bantuan berdasarkan faktor keselamatan, cuaca dan suasana situasi sebenar.