Mangsa Gempa Palu Tiada Makanan

October 10, 2018

PALU, Indonesia – Bantuan antarabangsa terhadap mangsa yang terselamat akibat gempa bumi dan tsunami semakin banyak tiba, namun beratus ribu penduduk masih berhadapan kekurangan makanan dan air, enam hari selepas bencana itu.

 

Keadaan itu menyebabkan sebahagian penduduk di pantai barat pulau Sulawesi itu terpaksa mencari sisa makanan di ladang dan kebun ketika kerajaan sedang bertungkus-lumus menangani kekurangan bekalan air, makanan, perlindungan dan bahan api di zon bencana.

 

Keadaan diburukkan lagi dengan beberapa kawasan ketiadaan bekalan elektrik, manakala komunikasi juga terhad.

 

Susulan masalah itu, kekacauan juga timbul apabila penduduk di bandar Palu iaitu 1,500 kilometer ke timur laut Jakarta berang dengan kejadian rompakan kedai, manakala lapangan terbang kecil juga sesak apabila orang ramai berusaha mendapatkan tiket penerbangan untuk keluar dari kawasan ini.

 

Angka kematian rasmi akibat gempa bumi 7.5 magnitud pada Jumaat lalu meningkat kepada 1,407 orang dengan kebanyakannya terbunuh akibat ombak tsunami dan tanah runtuh.

 

Kebanyakan yang disahkan maut berasal dari bandar ini dan hilang di kawasan terpencil yang masih belum diketahui. Hubungan telekomunikasi juga terputus, jambatan dan jalan turut musnah atau tersekat akibat tanah runtuh.

 

Sebaliknya, usaha antarabangsa untuk membantu mangsa telah dipertingkatkan selepas kerajaan enggan menerima bantuan asing.

 

“Kerajaan Indonesia memiliki pengalaman dan mampu menguruskan bencana alam tetapi kadangkala seperti negara lain, bantuan luar juga diperlukan,” kata Penolong Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan, Mark Lowcock dalam satu kenyataan.

 

Beliau mengumumkan peruntukan sebanyak AS$15 juta (RM62 juta).

 

Persatuan Palang Merah dan Persekutuan Palang Merah Antarabangsa berkata, pihaknya me­rayu bantuan sebanyak AS$22 juta (RM91 juta) untuk membantu Indonesia.

 

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) telah menyediakan pembiayaan awal selain mengerahkan pasukan pakar bencana yang sedang berusaha untuk menentukan bantuan lain yang boleh disalurkan, kata Jabatan Negara AS pada awal minggu ini.

 

Beberapa bantuan dari Britain dan Australia dijangka tiba hari ini (semalam). Setakat ini, kira-kira 20 negara telah menawarkan bantuan, kata kerajaan Indonesia.

 

Pada tahun 2004, gempa bumi yang berlaku di luar pulau Sumatera turut mencetuskan tsunami di seluruh Lautan Hindi sekali gus meragut nyawa 226,000 orang di 13 negara termasuk lebih 120,000 di Indonesia.

 

Langkah keselamatan sebenarnya telah dilaksanakan selepas bencana itu termasuk sistem amaran tsunami tetapi malangnya, ia gagal berfungsi pada Jumaat lalu atas pelbagai sebab termasuk kecuaian kerajaan, kekurangan dana dan vandalisme. 

 

Sumber :

http://www.kosmo.com.my/dunia/mangsa-gempa-palu-tiada-makanan-1.761085

Please reload

Kami Bantu Anda Salur Sumbangan Secara Online!

DANA MAPIM

5622 6354 0066

Featured Posts

Massacre in Myanmar - Send Peace Troops Now

August 26, 2017

1/10
Please reload

Recent Posts
Please reload

Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

© 2016 by MAPIM. Proudly created for WWW.MAPIM.ORG

Klik Untuk Dengar Radio Tajaan MAPIM:

Apa yang kami nyatakan di web ini adalah benar dan tepat mengikut fakta semasa dan dari ulasan pengalaman sebenar. Pengunjung dinasihatkan menyumbang dengan mengikuti arahan yang disediakan. Namun kami tidak bertanggungjawab jika sebarang masalah/komplikasi berlaku kepada penyumbang di atas projek, program dan bantuan berdasarkan faktor keselamatan, cuaca dan suasana situasi sebenar.